Anda berada di halaman: Utama

BRAP EDU FAIR 2011

E-mail Cetak PDF

  Alhamdulillah dan tahniah diucapkan kepada pasukan Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad Balok yang berjaya mendapat tempat

(saguhati) dalam Pertandingan Kitar Semula Plastik Oh Plastik di Pusat Nelayan Balok Pantai pada 15 Oktober 2011 (Sabtu) yang lalu. Ini merupakan penyertaan kali pertama SRAIB dalam program Balok River Adoption Program (BRAP) ~ Edu Fair 2011.

BRAP Edu Fair 2011 dianjurkan oleh Chemical Industries Council of Malaysia (CICM) yang dianggotai oleh syarikat-syarikat di kawasan Gebeng iaitu BASF-Petronas Chemicals Sdn. Bhd, BP Chemicals Malaysia Sdn. Bhd, Eastman Chemicals Sdn. Bhd, Flexys Chemicals Sdn. Bhd, Kaneka Malaysia Sdn. Bhd, Polyplastics Asia Pasific Sdn. Bhd dan W.R. Grace Specialty Chemicals (M) Sdn. Bhd.

Objektif program ini ialah menyebarkan kesedaran kitar semula kepada para pelajar sekolah rendah, memberi pendedahan kepentingan sungai kepada para pelajar dan masyarakat setempat, berkongsi maklumat mengenai usaha-usaha tanggungjawab sosial syarikat-syarikat di Gebeng dan memberi peluang sekolah-sekolah berinovasi melalui pertandingan kitar semula.

Penyertaan sekolah dalam pertandingan ini ialah sekolah yang mempunyai hubungan langsung dengan syarikat-syarikat di Gebeng di mana ibu bapa pelajar adalah kakitangan syarikat-syarikat di bawah CICM kawasan Gebeng. Antara sekolah yang terpilih ialah SK Balok, SJK(C) Chung Ching, SK Pelabuhan, SRI Al-Irsyad Balok, SK Balok Baru, SK Balok Makmur, SK Sungai Karang, SK Tunku Azizah, SJK(T) Indera Mahkota, SK Galing, SK Pelindung, SK Tok Sira, SK Air Putih, SJK(C) Kong Ming dan SJK(C) Pei Chai.

Pihak sekolah diwakili oleh lapan orang pelajar tahun enam iaitu Ahmad Itqan bin Nasrun Amir, Ahmad Wazif bin Shahrul Amin, Ismail Fahmi bin Bahrudin, Muhammad Alif Hakeem bin Mohd Sukeri, Farah Arissa Balqis bt Ahmad, Norfadzillah bt Abdul Aziz, Nur Farah Alya bt Halim Musa dan Muslihah bt Mohamad A’asri. Manakala guru pembimbing ialah Muallimah Nor Aini bt Mustafar dan Muallimah Nor Zalina bt Abdul Latif.

Projek kitar semula yang dihasilkan oleh para pelajar diberi nama Mini Akua iaitu sebuah akuarium yang menggunakan tangki pengepam tandas terpakai. Bahan-bahan lain yang digunakan ialah batang paip PVC, botol mineral, tiub getah, plastik bingkai gambar dan beberapa hiasan lain. Kesemua bahan yang digunakan adalah bahan-bahan yang dikitar semula. Proses menyiapkan Mini Akua ini mengambil masa beberapa hari untuk disiapkan sepenuhnya. Idea kreatif lagi inovatif ini dicetuskan oleh suami Muallimah Nor Aini. Terima kasih diucapkan kepada beliau.

Antara aktiviti-aktiviti yang telah dijalankan sepanjang berlangsungnya program BRAP ini ialah pameran BRAP dan Alam Sekitar Balok, pameran projek kitar semula sekolah, ujikaji permainan solar dan kuiz BRAP Edu Fair 2011.

Semoga pengalaman dan pengetahuan yang diperolehi dimanfaatkan dengan sebaik-baiknya. Terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menyiapkan projek ini serta sokongan yang telah diberikan oleh warga SRAIB……. Syukran jazilan!