:
Pena Guru Besar SRAIB


بِسْمِ اللهِ الرَحْمنِ الرَّحِيْمِ

Assalamualaikum wbt.

      Segala puji bagi Allah SWT yang telah menganugerahkan kepada kita nikmat iman dan Islam. Segala puji bagi Allah SWT yang telah menurunkan ujian dan pengajaran di sebalik setiap yang berlaku kepada hambaNya dengan penuh hikmah. Segala puji bagi Allah jua yang menjadikan makhluknya berpasangan, menukarkan siang kepada malam, lelaki pasangannya perempuan, daratan lawannya lautan, langit hamparannya bumi, binatang sahabatnya tumbuhan, kuat bimbingannya lemah, cantik lawannya hodoh dan sebagainya. Maha Suci Engkau Ya Allah, tidaklah Engkau jadikan sesuatu ini sia-sia.

      Selawat dan salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat, tabiin dan sesiapa sahaja yang menuruti dan mengikut jejak langkah mereka hingga hari kiamat. Tahun 2020, berlalu dengan meninggalkan pelbagai Ibrah dan pengalaman buat kita sebagai hambaNya. Pandang dan iktiqad dalam pandangan seorang muslim bahawa sesuatu kejadian itu tiada yang sia-sia melainkan untuk kebaikan hambaNya sebagaimana maksud dalam firman Allah yang berbunyi : “Boleh jadi sesuatu yang Engkau sukai tidak baik bagiMu dan boleh jadi sesuatu yang Engkau tidak sukai baik bagiMu." Sentiasalah kita berada dalam zon husnudzan dan bersabar serta bersyukur kepadaNya.

       Kini tahun 2021 menjelma dengan jayanya. Apa yang berlaku pada tahun 2020, kehidupan mesti diteruskan dengan keazaman yang membara, melawan dan merentas apa jua rintangan dan dugaan dengan ilmu dan kebijaksanaan yang ada tanpa membelakangkan acuan Allah. Semoga segala yang berlaku dan akan datang menjanjikan kebahagiaan dan keberkatan hidup buat kita semua di dunia dan di akhirat kelak.

Akhir kalam, siiru ala barakatillah.

 

SALMAH BINTI MAT YUSOFF

Mudirah,
Sekolah Rendah Islam Al-Irsyad Balok
18 Januari 2021